Minggu, 04 Oktober 2009

DI ANTARA AQIDAH SYI’AH YANG BERCANGGAH DENGAN ISLAM

MUKADDIMAH

1. Aqidah at-Tahrif fi al-Quran

2. Aqidah al-Imamah dan al-Walayah

3. Aqidah Takfir as-Sahabah (Aqidah Mengkafirkan Sahabat)

4. Aqidah ar-Raj’ah

5. Penutup

MUKADDIMAH

Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, adalah ugama yang terakhir, lengkap, terjamin dan universal. Ia mempunyai daya untuk membimbing, membina dan mengeluarkan peribadi-peribadi dan generasi contoh sampai qiamat. Ia juga mempunyai kemampuan dan kekuatan rahsia untuk mempertahankan dirinya dari segala bentuk serangan dan ancaman. Sejarah menyaksikan bahawa setiap fahaman dan fitnah yang telah cuba bersemuka dengan Islam pasti menerima kegagalan dan kekalahan.

Kemampuan dan kekuatan Islam yang luar biasa itu sangat menyakitkan hati musuh-musuh Islam, kerana itu sejak zaman permulaan Islam sampai ke hari ini mereka tidak henti-henti merancang dan menyusun fitnah yang boleh memecahbelahkan umat Islam dengan mencipta ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang berbagai-bagai untuk menimbulkan keraguan terhadap Islam. Mereka sedar bahawa selagi umat Islam berpegang teguh dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w mereka akan bersatu padu dan menjadi benteng kukuh untuk memelihara Islam sehingga tidak mungkin akan ada satu pun kuasa yang dapat merobohkannya.

Ketika wilayah-wilayah dari dua kuasa besar dunia, Rom dan Farsi satu demi satu jatuh ke tangan Islam dan tidak mampu bertahan lagi, apatah akan melawannya dengan kekuatan senjata, ketika itu musuh-musuh Islam bermuafakat untuk menyusup masuk ke dalam masyarakat Islam dan menggugatkannya dari dalam. Sasaran mereka ialah orang-orang yang baru memeluk agama Islam yang belum lagi diresapi betul-betul oleh ajaran Islam dan masih belum terhapus dari jiwa mereka saki baki ajaran agama mereka yang lalu. Melalui taktik-taktik ini mereka telah berjaya dan kejayaannya terbukti jelas dengan syahidnya Khalifah Islam yang ketiga Sayyidina Usman bin Affan r.a.

Gerakan musuh Islam atas nama Islam yang pertama ini dikenali di dalam sejarah Islam dengan “Gerakan Abdullah bin Saba’ dan rakan-rakannya”. Gerakan ini telah meletakkan batu-batu asas ajaran dan fahamannya yang kemudiannya dibinakan di atas asas-asas itu sebuah bangunan kukuh bernama Syi’ah Rafidhah.

Taktik yang sama telah digunakan oleh musuh-musuh Islam di zaman-zaman kemudiannya dengan berbagai-bagai nama seperti Babiah, Bahaiah, Qadiani, Batiniah, Ingkar Sunnah dan lain-lain. Tetapi gerakan-gerakan yang lain selain Syi’ah tidak dapat bertahan lama kerana asas-asasnya tidak begitu kukuh dan mereka pula tidak seperti Syi’ah yang mengamalkan prinsip “taqiyyah”.

Semua gerakan-gerakan tersebut pada hakikatnya telah disusun dan dirancang untuk memusnahkan ajaran Islam. Ini dapat diketahui dengan jelas apabila dikaji aqidah-aqidahnya berdasarkan kitab-kitab muktabar di kalangan mereka.

Walaupun golongan Syi’ah sangat kuat berpegang dengan prinsip “taqiyyah” dan sebelum ini agak sukar untuk mendapatkan kitab-kitabnya, namun selepas tercetusnya revolusi di Iran mereka merasakan sudah kuat dan sudah sampai masanya untuk mendedahkan kitab-kitabnya yang selama ini disembunyikan ke muka dunia. Dengan itu mudahlah bagi kita untuk mengkaji ajaran Syi’ah dari sumbernya sendiri dan semoga kemenangan revolusi di Iran itu akan menamatkan riwayat Syi’ah yang selama ini dikaitkan dengan Islam apabila umat Islam di dunia menyedari tentang aqidah-aqidah mereka yang bercanggah dengan Islam.

Kertas kerja ini ditulis khusus untuk mendedahkan sebahagian dari aqidah Syi’ah Imamiah Itsna Asyariah untuk menjadi bahan renungan dan peringatan bagi orang-orang yang terpengaruh dengan ajaran Syi’ah khasnya dan umat Islam di tanah air kita amnya.

Walaupun banyak aqidah-aqidah Syi’ah Imamiah Itsna Asyariah yang bercanggah dengan Islam, tetapi di dalam kesempatan ini kita hanya mengemukakan empat aqidah daripada aqaid mereka yang terang bercanggah dengan aqidah Islam dan dengan keempat-empat aqidah ini atau salah satu daripadanya ulamak-ulamak Islam di zaman lampau telah mengkafirkan Syi’ah ini.

Empat aqidah yang diketengahkan nanti ialah:

1) Aqidah at-Tahrif fi al-Quran

2) Aqidah al-Imamah wa al-Walayah

3) Aqidah Takfir as-Sahabah

4) Aqidah ar-Raj’ah

atas

1. Aqidah at-Tahrif fi al-Quran

Iaitu suatu aqidah bahawa al-Quran yang ada di tangan umat Islam hari ini sudah diubah, ditokok tambah dan diselewengkan.

1.1. Kepercayaan ini termasuk di dalam dharuriat aliran Syi’ah seperti yang dikatakan oleh Sayyid Hashim al-Bahrani seorang ahli tafsir Syi’ah yang besar di dalam muqaddimah tafsirnya yang bernama al-Burhan. “Saya yakin tentang benarnya (fahaman tentang al-Quran sudah diseleweng dan ditokok tambah) setelah diselidiki dan dikaji riwayat-riwayat dan atsar-atsar sehingga kita boleh memutuskan bahawa kepercayaan kepada perkara ini adalah salah satu daripada dharuriat aliran Syi’ah. (1)

Syeikh Ali Asghrar al-Burujardi salah seorang tokoh Syi’ah di abad ketiga belas menulis di dalam buku aqidahnya, “Wajib kita beri’tiqad bahawa al-Quran yang asal tidak diubah dan ditukarganti (isinya). Al-Quran yang asal ini ada pada Imam al-Asr (Imam Mahdi) – semoga Allah menyegerakan kemunculannya, bukan pada orang lain. Sesungguhnya orang-orang munafiq telah mengubah dan menukargantikan al-Quran yang ada pada mereka itu”. (2)

1.2. Pengakuan tentang tokoh-tokoh Syi’ah tentang aqidah ini:

Allamah an-Nuuri at-Thabarsi menaqalkan daripada Mulla Baqir al-Majlisi bahawa beliau berkata: “Tidak tersembunyi lagi bahawa hadits ini dan banyak hadits-hadits yang lain jelas menunjukkan tentang al-Quran yang ada ini telah dikurangkan dan diubah. Hadith-hadits ini sampai kepada mutawaatir ma’nan, membuangkan kesemuanya boleh menghilangkan sama sekali kepercayaan kita kepada hadits-hadits malah saya yakin bahawa hadits-hadits tentang perkara Imamah. Bagaimana mereka boleh menyabitkan Imamah kepada hadits?” (3)

Di dalam tafsir al-Qummi, pengarangnya Ali bin Ibrahim al-Qummi seorang pentafsir yang tertua di dalam Syi’ah menyebutkan di dalam muqaddimahnya, “Ada di antara isi al-Quran itu nasikh dan mansukh. Ada di antaranya muhkam dan ada pula mutasyaabih. Ada di antaranya berlainan dari yang diturunkan oleh Allah.” (4)

Di dalam kitab Fashlu al-Khitaab, Alamah Husain bin Muhammad Taqiy an-Nuuri at-Thabarsi menukilkan kata-kata Sayyid Ni’Matullah al-Jazaairi, “Bahawa tokoh-tokoh Syi’ah telah sepakat tentang sahihnya hadits-hadits yang sampai ke peringkat mutawaatir yang menunjukkan dengan jelas tentang berlakunya penyelewengan terhadap al-Quran.” (5)

Di antara ulamak dan tokoh-tokoh Syi’ah yang mempercayai demikian dan telah menulis dalam kitab mereka masing-masing ialah al-Kulaini, al-Barqi, al-Iyasyi, an-Nu’mani Furat bin Ibrahim, Ahmad bin Thaha at-Thabarsi, al-Majlisi, as-Sayyid Ni’matullah al-Jazaaifi, al-Hurrul Amili, Allamah al-Fatuni dan Sayyid al-Bahrani. Mereka yang tersebut itu berpegang kepada beberapa ayat al-Quran dan riwayat-riwayat yang tidak mungkin diketepikan sebagaimana yang disebutkan oleh Sayyid Thayyib al-Musavi di dalam Muqaddimah Tafsir al-Qummi halaman 23 hingga 24.

1.3 Contoh al-Quran yang ditakrifkan:

Di sini kita akan mengemukakan beberapa contoh al-Quran yang ditakrifkan menurut Syi’ah:

1.3.1 Al-Kulaini meriwayatkan di dalam al-Kafi dari Abi Basir dari Abi Abdillah a.s berhubung dengan firman Allah di dalam surah al-Ahzab ayat 71.

يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَن يُطِعْ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزاً عَظِيماً

Bermaksud: “Sesiapa yang taat kepada Allah berhubung dengan walayah Ali dan walayah Imam sesudahnya maka sesungguhnya dia mendapat kemenangan yang besar. Demikianlah ayat ini diturunkan.” (6)

1.3.2 Al-Kulaini meriwayatkan lagi di dalam kitab yang sama dari Abdullah bin Sinan dari Abi Abdillah a.s. berhubung dengan firman Allah di dalam Surah Thaha ayat 115.

وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَى آدَمَ مِن قَبْلُ فَنَسِيَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْماً

Bermaksud: “Dan sesungguhnya kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu dengan beberapa pesanan berhubung dengan Muhamad, Ali, Fatimah, al-Hasan, al-Husain dan para Imam dari zuriat mereka. Tetapi ia lupa demi Allah. Beginilah ayat itu diturunkan kepada Muhammad s.a.w.” (7)

1.3.3 Seorang tokoh hadits dan fiqh Syi’ah yang terkenal di abad ke 6 Hijrah, Ahmad bin Ali bin Abi Thalib at-Thabarsi di dalam kitabnya al-Ihtijaj meriwayatkan bahawa; “Seorang zindiq telah mengemukakan beberapa kritiknya terhadap al-Quran kepada Sayyidina Ali, lalu beliau menjawab kritikan-kritikannya itu. Di antara kritiknya ialah tentang ayat 3 Surah an-Nisa’.

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تُقْسِطُواْ فِي الْيَتَامَى فَانكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاء مَثْنَى وَثُلاَثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تَعْدِلُواْ فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلاَّ تَعُولُواْ

Menurut kaedah nahu, ayat ini mengandungi jumlah syarthiyyah. Apa yang diperlukan oleh jumlah syartiyyah dari jaza’nya tidak terdapat di dalam ayat ini sedikitpun. Sebagai menjawab kritikan itu Sayyidina Ali berkata: “Ia adalah di antara ayat yang digugurkan oleh munafiqin dari al-Quran. Sebenarnya di antara perkataan “dan” itu terdapat lebih dari 1/3 al-Quran yang terdiri dari ayat-ayat khitab dan ayat-ayat qasas.” (8)

Al-Kasyi juga telah menaqalkan riwayat ini dari at-Thabarsi di dalam tafsirnya as-Shaafi jilid 1 halaman 11.

atas

1.4 Golongan yang bertanggungjawab di dalam usaha menokok tambah al-Quran itu menurut Syi’ah berdasarkan kitab-kitab mereka yang muktabar ialah para sahabat Rasulullah s.a.w.

1.4.1 Allamah Kamaluddin Maitsam al-Bahrani menuliskan tentang pengumpulan al-Quran oleh Sayyidina Utsman r.a. bahawa: “Beliau telah menyatukan orang ramai di atas qiraat Zaid bin Tsabit sahaja dan membakar mashaf-mashaf yang lain. Beliau telah membatalkan (membuangkan) ayat-ayat yang tidak syak lagi sebahagian daripada al-Quran.” (9)

1.4.2 At-Thabarsi meriwayatkan; Di dalam riwayat Abi Zar al-Ghifari (tersebut) bahawa setelah Rasulullah s.a.w wafat, Sayyidina Ali mengumpulkan al-Quran dan membawanya ke muka Muhajirin dan Ansar. Beliau telah menunjukkan al-Quran itu kepada mereka, mengingatkan wasiat Rasullulah s.a.w kepadanya. Abu Bakar membukanya. Pada muka surat pertama lagi rahsia kejahatan mereka (sahabat) telah terdedah. Umar terus melompat dan berkata: “Wahai Ali, ambillah semula mashaf ini, kami tidak memerlukannya.” Ali a.s. pun mengambilnya dan terus pulang. Kemudian Zaid bin Tsabit dipanggil. Dia adalah orang yang ahli tentang al-Quran. Umar berkata kepadanya: “Sesungguhnya tadi Ali datang dengan membawa al-Quran yang di dalamnya tercatit segala kejahatan Muhajirin dan Ansar. Kami fikir mahu menyusun al-Quran dan membuang daripadanya cerita-cerita yang mengaibkan golongan Muhajirin dan Ansar.”

Maka Zaid pun mengambil tugas itu. Kemudian Zaid berkata: “Apabila saya selesai menyusun al-Quran mengikut permintaan kamu itu, dan Ali akan mengemukakan al-Quran yang disusunnya, tidakkah menjadi sia-sia apa yang kamu lakukan ini?” Umar berkata: “Kalau begitu, apa helahnya?” Zaid menjawab: “Kamu lebih tahu tentang helahnya.” Maka Umar pun berkata: “Tidak ada helah lain selain dari kita membunuhnya, dengan itu kita tidak lagi diganggu olehnya”.

Umar pun merancang untuk membunuhnya melalui Khalid bin al-Walid tetapi ia tidak mampu melaksanakan rancangannya itu. Setelah dilantik menjadi Khalifah, mereka (para sahabat) meminta Sayyidina Ali memberikan al-Quran itu kepada mereka (sebenarnya untuk menyelewengkan isi al-Quran itu). Sayyidina Ali berkata: “Mana boleh, tidak ada lagi jalan untuk mendapatkan al-Quran itu. Aku hanya mengemukakan kepada Abu Bakar supaya hujjah tetap ke atas kamu dan kamu tidak dapat berkata pada hari qiamat nanti. Sesungguhnya kami tidak mengetahui tentang perkara ini, atau kamu berkata; Engkau tidak pernah membawa al-Quran ini kepada kami. Sesungguhnya al-Quran yang ada padaku ini tidak dapat disentuh kecuali oleh orang-orang yang suci dan penerima wasiat dari anak cucuku sahaja.”

Mendengar keterangan Ali a.s. itu Umar berkata: “Adakah waktunya al-Quran itu telah dipastikan?” Ali a.s. menjawab: “Ya, apabila bangkit orang yang bangkit (Imam Mahadi) dari keturunanku, dia akan mengemukakan al-Quran itu dan mengajak manusia menggunakan al-Quran itu.” (10)

atas

1.5 Ulamak-ulamak mutaqaddimin Syi’ah kecuali empat orang dari mereka telah ittifaq tentang telah berlakunya penyelewengan dan tokok tambah pada al-Quran yang ada ini. Mereka berempat itu ialah;

i) Ibn Babwaih al-Qummi yang digelarkan dengan Syeikh Shaduq (w 381H)

ii) Sayyid Murtadha yang digelarkan dengan Alamul Huda (w 436H)

iii) Abu Jaafar at-Thusi (w 460H)

iv) Abu Ali at-Thabarsi (w 548H)

Walau bagaimanapun keempat-empat mereka ini berdasarkan kitab-kitab mereka telah mengakui hakikat ini. Penafian mereka adalah berdasarkan “taqiyyah”.

Untuk mengetahui mengapakah mereka berempat ini menafikan aqidah ini dan begitu juga setengah-setengah ulamak mutaakhirin Syi’ah yang lain walaupun hadits-hadits yang menyebutkan perkara ini sudah sampai ke peringkat mutaawatir dan mustafidh seperti yang disebutkan oleh Mirza Hussain Muhammad Taqiy at-Thabarsi an-Nuuri di dalam bukunya Fashlu al-Khitaab, perlulah kita merujuk kepada keterangan as-Sayyid Ni’matullah al-Jazaairi selepas beliau membuktikan yang al-Quran yang ada ini telah diselewengkan dan ditokok tambah dengan hadits-hadits mustafidh dan mutaawatir. Kata beliau: “Ya, memang benar Sayyid Murtadha, Syaikh Shaduq dan Syaikh Thabarsi berbeza pendapat tentang perkara ini. Mereka mengatakan yang al-Quran yang ada dalam dua kulit mushaf ini ialah al-Quran yang diturunkan, tidak lain, tidak berlakunya apa-apa perubahan atau pindaan …….

Yang jelas kata-kata mereka ini lahir dari beberapa banyak muslihat. Di antaranya ialah menutup pintu kritikan (musuh-musuh Syi’ah) bahawa sekiranya boleh berlaku pengubahan, pindaan dan tokok tambah pada al-Quran ini, bagaimana boleh kita beramal mengikut peraturan-peraturan dan hukum-hukumnya? Jawapan tentang perkara ini akan diberikan nanti.

Sebabnya ialah bagaimana kita akan menganggap tokoh-tokoh tersebut ini mempercayai al-Quran yang ada ini tidak diubah atau ditokok tambah sedangkan mereka sendiri telah meriwayatkan banyak hadits-hadits di dalam karangan mereka yang menunjukkan telah berlakunya semua perkara tersebut.” (11)

atas

1.6 Sebenarnya faktor yang mendorong golongan Syi’ah berpegang dengan aqidah ini ialah:

1.6.1 Golongan Syi’ah percaya Imamah termasuk salah satu aqidah penting mereka. Seseorang yang tidak menerimanya dianggap sebagai kafir. Oleh kerana tidak terdapat di dalam al-Quran satu ayat pun yang dengan jelas menunjukkan keimanan kepada 12 orang Imam mereka, maka mereka mengadakan kepercayaan bahawa al-Quran yang ada ini telah diubah dan diselewengkan daripada asal untuk membenarkan aqidah mereka. Ini dapat dilihat dari kenyataan yang dinukilkan oleh Sayyid Mohsein al-Kasyi daripada seorang ahli tafsir besar di sisi Syi’ah iaitu al-‘Ayasyi. Beliau telah menyebutkan di dalam tafsirnya satu riwayat dari Abi Jaafar a.s. Kata beliau: “Sekiranya tidak berlaku tokok tambah di dalam kitab Allah, tentulah tidak tersembunyi hak kami (hak Imamah) kepada orang-orang yang mempunyai fikiran.” (12)

1.6.2 Oleh kerana al-Quran yang ada ini penuh dengan pujian dan keutamaan yang diakui oleh Allah terhadap para sahabat Rasullullah s.a.w, maka golongan Syi’ah yang begitu dendam terhadap para sahabat tidak dapat menerima al-Quran yang ada ini adalah al-Quran yang benar dan mereka menganggap segala pujian dan keutamaan para sahabat yang tersebut di dalam al-Quran ini adalah hasil ciptaan dan rekaan para sahabat.

1.6.3 Al-Quran yang ada ini telah diusahakan pengumpulannya oleh sahabat-sahabat agung Rasullullah s.a.w seperti Sayyidina Abu Bakar, Umar dan Utsman r.a. Sedangkan mereka ini mengikut kepercayaan Syi’ah adalah golongan yang telah merampas hak Sayyidina Ali dan berlaku zalim dan kejam terhadap Ahlul Bait.

1.6.4 Di antara matlamat penting Syi’ah daripada aqidah ini ialah untuk membebaskan manusia dari ikatan ugama dan beramal dengan hukum-hukum Allah. Jika akidah ini tidak diperkenalkan bagaimanakah orang-orang Islam akan dapat melepaskan dirinya dari hukum-hukum Allah?. Untuk itu mereka meriwayatkan hadits-hadits yang palsu atas nama Imam-Imam Ahlul Bait dan Rasullullah s.a.w sendiri. Di antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh al-Kulaini dalam al-Kafi dari Yazid bin Mu’awiyah katanya: “Abu Jaafar a.s. berkata: “Ugama tidak lain hanya cinta.” Kemudian Abu Jaafar berkata: “Ada seorang lelaki datang menemui Nabi dan berkata: “Wahai Rasullullah, aku cintakan orang-orang yang sembahyang tetapi aku sendiri tidak sembahyang dan aku cintakan orang-orang yang berpuasa, tetapi aku sendiri tidak berpuasa.” Mendengar kata-kata orang itu Rasullullah s.a.w lantas berkata: “Engkau akan bersama orang yang engkau cintai.” (13)

atas

2. Aqidah al-Imamah dan al-Walayah

Iaitu kepercayaan bahawa Imam-Imam Dua Belas itu dilantik berdasarkan nas dan mereka adalah maksum

2.1 Kedudukan kepercayaan ini di dalam ajaran Syi’ah:

2.1.1 Kepercayaan ini begitu penting di dalam ajaran Syi’ah, sehingga ia merupakan salah satu syarat keimanan dan dianggap terpenting dari antara rukun-rukun Islam yang lain. Setiap Nabi yang datang telah mengakui keimaman dan walayah Ali dan seseorang yang tidak mengenal Imam-Imamnya dianggap tidak mengenal Allah. Al-Kulaini mengemukakan riwayat dari Fudhail dari Abi Jaafar a.s. Kata beliau: “Islam ditegakkan di atas lima perkara; sembahyang, puasa, zakat, haji dan walayah. Pada hari al-Ghadir tidak ada satu pun daripada rukun-rukun yang tersebut ditekankan sebagaimana penekanan diberikan kepada al-Walayah.” (14)

Al-Kulaini meriwayatkan lagi dari Zurarah dari Abi Jaafar a.s. Kata beliau: “Islam ditegakkan di atas lima perkara iaitu sembahyang, zakat, puasa, haji dan walayah.” Zurarah pun berkata: “Aku pun bertanya yang manakah di antara rukun-rukun yang tersebut itu paling utama?” Abu Jaafar menjawab: “Walayahlah yang paling utama.” (15)

Di dalam kitab Bashaair ad-Darajat dan al-Kafi tersebut riwayat dari Abi Abdillah a.s. bahawa beliau berkata: “Walayah kami adalah walayah Allah yang tidak diutusnya seorang Nabi pun melainkan pasti ia membawanya.” (16)

2.2 Allah tidak mungkin dikenali tanpa dikenali terlebih dahulu para Imam dan orang yang tidak mengenali Imam adalah sesat.

2.2.1 Diriwayatkan dari Abi Abdillah a.s. Katanya: “Kamilah orang yang difardhukan Allah supaya ditaati. Setiap orang mesti mengenali kami. Tidak dimaafkan orang yang tidak mengenali kami. Orang yang mengenali kami adalah mukmin. Sesiapa yang tidak mengenali kami dan menolak kami, dia adalah kafir. Orang yang tidak mengenali kami tetapi tidak menolak kami adalah sesat, sehinggalah ia kembali kepada petunjuk yang Allah fardhukan ke atasnya iaitu kewajipan mentaati kami. Sekiranya ia mati di dalam kesesatannya maka Allah akan melakukan apa yang dikehendakiNya terhadapnya.” (17)

2.2.2 Diriwayatkan dari Abi Hamzah. Kata beliau: “Abu Jaafar berkata kepadaku: “Sesungguhnya orang yang mengenali Allah sahaja yang menyembah Allah. Sesiapa yang tidak mengenali Allah bererti ia menyembahnya dalam sesat.” Aku (Abi Hamzah) bertanya: “Semoga diriku dijadikan tebusan untukmu, apakah yang dimaksudkan dengan mengenali Allah?” Beliau (Abu Jaafar) menjawab: “Membenarkan Allah, membenarkan RasulNya s.a.w, menerima Ali dan Imam-Imam sebagai Imam yang benar dan pembawa petunjuk dan berlepas diri daripada musuh-musuh mereka (para Imam). Begitulah Allah dikenali.” (18)

2.2.3 Diriwayatkan daripada Jabir, beliau berkata: “Aku mendengar Abu Jaafar a.s. berkata: “Sesungguhnya orang-orang yang mengenali Allah dan ImamNya dari kalangan kami Ahlul Bait sahaja yang mengenali Allah dan tidak mengenali Imamnya dari kalangan kami Ahlul Bait sebenarnya ia mengenalinya dan menyembah selain dari Allah. Demi Allah! Begitulah cara mereka sesat.” (19).

2.3 Imam-Imam dua belas itu maksum, mempunyai kuasa yang luar biasa, mempunyai darjat yang lebih tinggi dari Nabi dan Rasul dan para malaikat yang muqarrabun, boleh menghalalkan dan mengharamkan segala sesuatu dan mereka juga menjadi penentu kepada ahli syurga atau ahli neraka. Imam yang kelapan di sisi Syi’ah iaitu Imam Ali bin Musa ar-Ridha a.s. di dalam satu ucapannya yang panjang lebar telah mengemukakan ciri-ciri dan keutamaan para Imam. Di dalam ucapannya beliau beberapa kali menjelaskan tentang maksumnya Imam itu. Antara lain beliau menyebutkan: “Dia adalah maksum, disokong, diberi taufik dan diluruskan segala tindak tanduknya dari pihak Allah. Dia terpelihara dari segala kesalahan dan kegelinciran. Allah menentukannya dengan sifat-sifat seperti ini supaya dia menjadi hujjah kepada hamba-hambaNya dan menjadi penyaksi ke atas makhlukNya.” (20).

Mereka boleh menghalalkan apa yang dikehendaki oleh mereka dan mengharamkan apa yang dikehendaki oleh mereka. Setiap yang dikehendaki oleh mereka pastilah dikehendaki oleh Allah. (21)

Khalimatul Muhadditsin Allamah Baqir al-Majlisi di dalam kitabnya Hayaatu al-Qulub menulis: “Daripada riwayat-riwayat muktabar yang insya-Allah akan disebutkan nanti akan diketahui bahawa martabat Imamah lebih tinggi daripada martabat nubuwah.” (22)

Ayatullah al-Uzama Ruhullah Khomeini di dalam kitabnya al-Hukumah al-Islamiah dengan jelas menegaskan; “Bahawa sesungguhnya di antara dharuriat dan aqidah-aqidah asasi aliran kita (Syi’ah Imamiah Itsna Asyariah) ialah para Imam mempunyai suatu maqam yang tidak sampai kepadanya malaikat muqarrab dan Nabi yang diutuskan.” (23)

Al-Kulaini meriwayatkan tentang keutamaan dan darjah Sayyidina Ali dan Imam-Imam selepasnya daripada Imam Jaafar as-Shadiq. Kata beliau: “Apa yang dibawakan oleh Ali ku ambil dan apa yang dilarang olehnya ku hentikan. Keutamaan yang diperolehinya sama seperti keutamaan yang diperolehi oleh Muhammad dan Muhammad mempunyai keutamaan di atas semua makhluk Allah Azzawajalla. Orang yang mengkritik salah satu hukum yang diberikan olehnya (Ali) sama seperti orang yang mengkritik Allah dan RasulNya. Orang yang menolaknya sama ada dalam perkara kecil atau besar sama seperti melakukan syirik terhadap Allah. Amirul Mukminin (Ali) adalah pintu Allah yang tidak dapat didatangi kecuali melalui pintu itu dan beliau merupakan jalan yang mana orang yang mengikuti jalan yang lain akan binasa. Demikian juga keutamaan yang diperolehi oleh Imam-Imam yang membawa petunjuk sesudahnya satu demi satu.” (24)

Di dalam riwayat yang sama al-Kulaini menyebutkan Abu Abdillah (Jaafar as-Shadiq) menyebutkan Amirul Mukminin (Sayyidina Ali) selalu berkata: “Aku adalah pembahagi syurga dan neraka dari pihak Allah. Aku adalah pembeza (di antara kebenaran dan kebathilan) yang agung. Padaku ada tongkat (Musa), misam (penanda di antara seseorang mukmin dan munafiq). Sesungguhnya para malaikat, ar-Ruh (Jibril) dan para Rasul telah mengakui aku sebagaimana mereka telah mengakui Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya aku telah dibebankan sama seperti Nabi Muhammad s.a.w iaitu bebanan daripada Allah. Rasullulllah s.a.w akan dipanggil (pada hari qiamat nanti) dan diberikan persalinan, aku juga akan dipanggil dan diberi persalinan. Dia (Muhammad s.a.w) akan diminta bercakap, aku juga diminta bercakap. Maka pada ketika itu aku juga akan bercakap seperti dia.

Aku telah dikurniakan beberapa keistimewaan yang tidak pernah dikurniakan kepada sesiapa pun sebelumku. Aku mengetahui ajal manusia dan bencana yang menimpa mereka. Aku juga mengetahui nasab keturunan dan cara penyelesaian yang bijaksana. Tidak terlepas daripadaku pengetahuan tentang sesuatu yang ghaib. Aku menyampaikan berita gembira dengan izin Allah dan menunaikannya dari pihakNya. Semua ini adalah daripada Allah yang telah memampukan aku menguasai semua yang tersebut dengan ilmuNya yang luas.” (25)

atas

2.4 Di antara kepercayaan Syi’ah berhubung dengan Imamah ialah kepercayaan tentang ghaibnya Imam yang ke 12 di dalam dua macam ghaibah;

i) Ghaibah Sughra

ii) Ghaibah Kubra

Sebenarnya bolehlah dikatakan kepercayaan kepada ghaibah ini sebagai satu keajaiban di dalam dunia aqidah.

Kisah kelahiran Imam yang kedua belas yang dianggap sebagai Imam Mahdi dan Shahibu az-Zaman penuh dengan keajaiban dan tidak kurang hebatnya dari Kisah 1001 malam. Sehinggakan ulama-ulamak Syi’ah sendiri tidak mengetahui kelahiran seorang yang akhirnya dianggap sebagai Imam yang kedua belas dan Imam Mahdi daripada Imam yang kesebelas Syi’ah Hassan al-Aksari.

Ghaibah Sughra bermula dari 260H – 328H. Pada masa Ghaibah Sughra ini menurut kepercayaan Syi’ah ada beberapa orang yang dianggap sebagai duta-duta Imam Mahadi kepada orang ramai dan pada masa itu Imam Mahadi dianggap masih dihubungi oleh orang-orang tertentu. Di antara mereka ialah Abu Hashim Daud bin al-Qassim al-Jaafari, Muhammad bin Ali bin Bilal, Abu ‘Amar Utsman bin Sa’id as-Samman, Umar al-Ahwaazi, Ahmad bin Ishaaq dan lain-lain.

Setelah itu dianggap bermula zaman Ghaibah Kubra sehingga kepada suatu masa yang tidak dapat ditentukan oleh sesiapa pun.”

2.5 Kata-kata Khomeini di dalam kitabnya al-Hukumah al-Islamiah; “Sesungguhnya Imam Mahdi telah menghilang diri di dalam Ghaibah Kubranya lebih 1000 tahun yang lampau. Barangkali kehilangannya itu akan berterusan selama beberapa ribu tahun lagi sebelum tiba masa keperluan menghendaki munculnya Imam yang dinantikan itu.” (26)

2.6 At-Thabarsi menaqalkan kata-kata Imam Syi’ah yang kesembilan iaitu Muhammad bin Ali berhubung dengan Imam yang kedua belas di dalam kitabnya al-Ihtijah. Kata beliau: “Dialah orang yang kelahirannya tersembunyi dari orang ramai dan dirinya akan terus ghaib dari penglihatan mereka. Sahabat-sahabatnya sebilangan ahli Badar iaitu seramai 313 orang dari seluruh pelusuk bumi akan berkumpul kepadanya. Apabila telah berkumpul orang-orang ikhlas sebanyak bilangan tersebut bersamanya, ketika itu Allah akan menzahirkan urusanNya (akan mengeluarkannya dari Ghaibah Kubranya).” (27)

Riwayat ini bermakna di sepanjang zaman ghaibah Imam Mahdi ini, tidak lagi terkumpul sebanyak bilangan tersebut orang-orang Syi’ah yang ikhlas walaupun pada zahirnya mereka kelihatan ramai. Bagaimanakah agaknya Syi’ah yang ikhlas ini !!

Mulla Baqir al-Majlisi menaqalkan satu riwayat dari Imam al-Baqir bahawa beliau berkata: “Apabila qaim dari keluarga Muhammad s.a.w muncul, Allah akan menolongnya melalui para malaikat dan orang yang mula-mula sekali akan berbai’ah kepadanya ialah Muhammad dan selepas itu, Ali.” (28)

Di dalam kitab yang sama Mulla Baqir al-Majlisi menaqalkan satu riwayat dari Muhammad al-Baqir yang berasal dari kitab Ilalu as-Syaraa’i karangan Ibn Babwaih al-Qummi, kata beliau: “Apabila muncul Imam Mahdi nanti, beliau akan menghidupkan kembali A’isyah dan akan menjalankan hukum had (zina) ke atasnya dan akan membalas dendam Fatimah terhadapnya.” (29)

atas

3. Aqidah Takfir as-Sahabah (Aqidah Mengkafirkan Sahabat)

Kepercayaan Syi’ah tentang majoriti para sahabat telah murtad tidak tersembunyi kepada sesiapa sahaja yang pernah membaca kitab-kitab Syi’ah, sehingga bolehlah dikatakan tidak ada sebuah kitab Syi’ah yang muktabar terutamanya yang ditulis oleh ulamak-ulamak mereka yang lalu melainkan pasti tersebut di dalamnya riwayat-riwayat yang mengkafirkan atau memurtadkan para sahabat atau melaknat, memaki hamun dan melakukan tabarri (tabarra – yakni menyatakan sikap berlepas diri dan tidak mempunyai hubungan kasih sayang) terhadap mereka. Tidak terlepas daripada tuduhan-tuduhan mereka sahabat-sahabat besar Rasullullah s.a.w sekalipun seperti Sayyidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Abdul Rahman bin ‘Auf, isteri-isteri Rasullullah s.a.w dan lain-lain.

Di sini kita akan mengemukakan beberapa contoh sahaja daripadanya:

3.1 Al-Kulaini meriwayatkan dari Abu Jaafar as-Sadiq kata beliau: “Para sahabat telah menjadi murtad sepeninggalan Rasullullah s.a.w kecuali tiga orang dari mereka.” Aku bertanya (kata perawi): “Siapakah yang tiga itu?” Abu Jaafar menjawab: “Miqdad bin al-Aswad, Abu Zar al-Ghifari dan Salman al- Farisi.” (30)

Al-Kulaini meriwayatkan daripada Hanan dari ayahnya dari Abi Jaafar a.s. Ayahnya berkata: “Aku bertanya kepadanya (kepada Abi Jaafar): “Anak-anak Yaakub bukan para Nabi?” Beliau menjawab: “Tidak, tetapi mereka adalah asbat (cucu-cucu) anak-anak para Nabi. Mereka tidak meninggal dunia melainkan dalam keadaan bahagia dan bertaubat dan menyesali apa yang telah mereka lakukan dan sesungguhnya Syaikhain (Abu Bakar dan Umar) meninggal dalam keadaan tidak bertaubat dan tidak menyesali apa yang mereka lakukan terhadap Amirul Mukminin a.s. Atas mereka berdua laknat Allah, para malaikat dan manusia sekalian.“ (31)

3.2 Syaikh at-Thusi meriwayatkan bahawa Kummait bin Zaid datang menemui Abu Jaafar a.s. lalu bertanya Abu Jaafar tentang Syaikhain (Abu Bakar dan Umar). Abu Jaafar menjawab: “Tidak berlaku pertumpahan darah dan tidak diputuskan sesuatu hukuman yang tidak sesuai dengan hukum Allah, hukum Nabi dan hukum Ali a.s. melainkan dosanya diletakkan di atas tengkuk mereka berdua.”

Mendengar jawapan Abu Jaafar, Kummait berkata: “Allahu Akbar! Allahu Akhbar! Cukuplah, cukuplah.” (32)

Di dalam satu riwayat yang lain at-Thusi mengemukakan satu lagi riwayat iaitu Kummait berkata: ‘Tuan, saya mahu bertanya tuan tentang satu masalah.” Ketika Kummait berkata demikian, Abu Abdillah (Jaafar as-Shadiq) sedang bertelekan di atas bantal. Tetapi sebaik sahaja al-Kummait berkata demikian, beliau terus membetulkan duduknya dan meletakkan bantal di bawah dadanya kemudian berkata: “Tanyalah.” Kummait berkata: “Saya mahu bertanya tuan tentang dua orang itu (Abu Bakar dan Umar).” Abu Abdillah berkata: “Wahai Kummait bin Zaid, tidak tumpah darah dengan cara tidak sebenar di dalam Islam, tidak diperolehi harta dari sumber yang tidak halal, dan tidak dicampuri perempuan secara haram melainkan dosa kesemuanya teletak di atas tengkuk mereka berdua sehingga muncul qaim kita (Imam Mahdi). Kita golongan dari Bani Hasyim menyuruh sama ada orang-orang tua dan orang-orang muda dari kalangan kita memaki mereka berdua dan begitu juga menyatakan sikap berlepas diri dari mereka (tabarra).” (33)

3.3 Allamah Baqir al-Majlisi menulis di dalam kitabnya Hayaatu-al-Qulub bahawa ‘Ayyasi telah meriwayatkan dengan sanad yang muktabar dari Imam Jaafar as-Shadiq bahawa Aisyah dan Hafsah telah meracun Rasulullah s.a.w sehingga Rasulullah s.a.w wafat kerananya. (34)

atas

4. Aqidah ar-Raj’ah

Salah satu aqidah Syi’ah yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam ialah kepercayaan mereka tentang akan dibangkitkan para Imam sebelum qiamat untuk menuntut bela atau menghukum orang-orang zalim yang telah merampas hak-hak mereka. Kepercayaan ini merupakan perkara yang telah diijmakkan oleh para ulamak Syi’ah.

4.1 Syaikh Mufid berkata: “Golongan Imamiah sependapat tentang wajibnya raj’ah (kembali) sebahagian besar dari orang-orang mati ke dunia sebelum qiamat.” (35)

4.2 Syarif al-Murtadha yang digelarkan di kalangan orang-orang Syi’ah dengan ‘Alamul Huda di dalam jawapannya kepada persoalan raj’ah yang dikemukakan kepadanya berkata: “Pegangan Syi’ah Imamiah ialah Allah Ta’ala akan membangkitkan (menghidupkan semula) ketika munculnya Imam Mahdi satu golongan yang telah terdahulu meninggal daripada Syi’ahnya dan satu golongan yang lain daripada musuh-musuhnya.” (36)

4.3 Al-Majlisi meriwayatkan daripada Jaafar as-Shadiq a.s. bahawa beliau berkata: “Orang yang mula-mula terbelah bumi kerananya dan bangkit ke dunia (sebelum qiamat) ialah Husain bin Ali dan raj’ah itu bukanlah umum tetapi ia suatu yang khusus. Tidak akan kembali (bangkit sebelum qiamat) kecuali mukmin sejati atau kafir sejati.” (37)

Al-Majlisi meriwayatkan daripada Bukair bin A’yan katanya: “Orang yang aku tidak ragui (Jaafar as-Shadiq) telah menceritakan kepadaku bahawa Rasulullah s.a.w dan Ali akan bangkit sebelum qiamat (raj’ah).” (38)

Diriwayatkan daripada Jaafar as-Sadiq beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Tuhanku telah memperjalankan aku pada waktu malam dan mewahyukan kepadaku dari balik tabir apa yang diwahyukanNya dan telah bercakap denganku apa yang dicakapkanNya. Di antara percakapanNya denganku ialah: “Wahai Muhammad, Ali adalah orang yang paling akhir Aku mengambil nyawanya dari para Imam Dua Belas.” (39)

Setelah mengemukakan beberapa banyak riwayat tentang raj’ah al-Majlisi berkata di dalam kitabnya Biharu al-Anwar: “Ketahuilah wahai saudaraku, aku yakin bahawa engkau tidak akan meragui lagi tentang raj’ah setelah aku menjelaskan kedudukannya yang telah diijmak oleh Syi’ah di setiap zaman dan kepercayaan tentangnya di kalangan mereka terlalu jelas dan umum bagaikan matahari di siang hari. Bagaimanakah seseorang mukmin akan meragui kebenaran para Imam mereka yang suci di dalam hadits-hadits mutawaatir yang telah diriwayatkan dari mereka lebih 200 orang dan telah diriwayatkan pula oleh lebih dari 40 orang tokoh-tokoh ulamak yang dipercayai di dalam lebih dari 50 karangan mereka masing-masing.” (40)

atas

5. Penutup

Demikianlah dengan serba ringkasnya kita bentangkan aqidah-aqidah Syi’ah dari kitab-kitab muktabar mereka. Semoga keterangan-keterangan yang diberikan memberi manfa’at kepada kita semua dan semoga Allah sentiasa membimbing kita di jalan yang lurus.

Firman Allah:

رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Bermaksud:

“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau belokkan hati-hati kami setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Mengurniakan.”

(Surah Al’Imran – ayat 8)

atas

Nota:

1 Al-Bahrani – al-Burhan fi Tafsiri al-Quran – Muqaddimah Fasal 4, halaman 49

2 Al-Burujardi-‘Aqaaidu as-Syi’ah – halaman 27

3 An-Nuuri at-Thabarsi – Fashlu al-Khitaab – halaman 353

4 Al-Qummi – Tafsir al-Qummi – Muqaddimatu al-Kitab – j.1 halaman 5

5 An-Nuuri at-Thabarsi – Fashlu al-Khitaab – halaman 30

6 Al-Kulaini – al-Kafi – al-Hujjah Min al-Kafi – jilid 1 halaman 414

7 Al-Kulaini – al-Usul Min al-Kafi jilid 1 halaman 119

8 Ahmad bin Ali-at-Thabarsi – al-Ihtijaj halaman 119

9 Maitsam al-Bahrani – Syarah Nahju al-Balaghah jilid 11 halaman 1

10 At-Thabarsi – al-Ihtijaj halaman 76-77

11 Ni’matullah al-Jazaairi-al-Anwar an-Nu’maniah – jilid 2 halaman 357

12 Al-‘Ayasyi – Tafsir as-Shafi – Muqaddimah Keenam – hal 10

13 Al-Kulaini – Ar-Raudhah Min al-Kafi – jilid 8 halaman

14 Al-Kulaini – al-Usul Min al-Kafi – jilid 2 halaman 20

15 Al-Kulaini –Usul Kafi – jilid 2 halaman 18

16 Bashaairu ad-Darajat – jilid 2 Bab 9

17 Al-Kulaini – al-Kafi – jilid 1 halaman 187

18 Al-Kulaini – al-Usul Min al-Kafi – jilid 1 halaman 180

19 Ibid – halaman 181

20 Ibid – hal 203

21 Ibid – halaman 441

22 Baqir al-Majlisi – Hayaatu al-Qulub – jilid 3 hal 10

23 Khomeini – al-Hukumah al-Islamiah – hal 52

24 Al-Kulaini – al-Usul Min al-Kafi – jilid 1 halaman 196

25 Ibid – halaman 196 - 197

26 Khomeini – al-Hukumah al-Islamiah –hal 26

27 At-Thabarsi – al-Ihtijaj’Ala Ahli al-Lajaj – halaman 230

28 Al-Majlisi – Haqqu al-Yaqin – hal 139

29 Ibid-halaman 139

30 Al-Kulaini – ar-Raudhah Min al-Kafi – jilid 8 hal 245

At-Thusi – Rijal al-Kasyi – jilid 1 halaman 6

Al-Majlisi – Hayaatu al-Qulub – jilid 2 halaman 640

31 Al-Kulaini – ar-Raudhah Min al-Kafi – jilid 8 halaman 246

32 At-Thusi – Ikhtiar Ma’rifati ar-Rijal – jilid 3 halaman 205 – 206

33 Ibid—halaman 206 – 207

34 Al-Majlisi – Hayaatu al-Qulub – jilid 2 halaman 870

35 Syaikh Mufid – Awaailu al-Maqaalat – halaman 52

36 Mohsein al-Amin – A’yaanu as-Syi’ah – jilid 1 halaman 132

37 Al-Majlisi – Biharu al-Anwar – jilid 13 halaman 210

Al-Kasyi – Tafsir as-Shaafi – jilid 1 halaman 959

38. Al-Majlisi – Biharu al-Anwar – jilid 13 hal 210

39. Ibid halaman 217

40. Al-Majlisi – Biharu al-Anwar – jilid 13 halaman 225

Tidak ada komentar: